Thursday, April 16, 2009

Benitez, Ferguson bertikam lidah lagi

LIVERPOOL: Rafael Benitez mencetus kembali pergeseran dengan Alex Ferguson apabila menyuarakan betapa gemuruh pengurus Manchester United itu ketika dihimpit cabaran yang memuncak daripada Liverpool untuk buruan mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).


Benitez terbabit dalam beberapa siri peperangan mulut dengan Ferguson, musim ini dan jurulatih berbangsa Sepanyol itu tidak dapat menahan diri daripada ‘melancarkan satu lagi serangan’ selepas dua gol Fernando Torres merangsang Liverpool untuk membelasah Blackburn Rovers 4-0 di Anfield, kelmarin.

Walaupun United terus gah menerajui carta liga dengan kemenangan 2-1 mengatasi Sunderland, Liverpool memberi petanda mereka akan mencabar sehingga penamat musim dengan persembahan terpuji buat mengikis detik kecewa kalah 1-3 kepada Chelsea dalam saingan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, minggu lalu.

Benitez menegaskan keputusan dilakar anak didiknya itu harus membuat United dan Ferguson dalam keadaan tertekan.

“Jelas sekali anda boleh lihat bahawa mereka tertekan,” kata pengurus Liverpool itu. “Ferguson sentiasa bercakap dan ia hanya memberi satu pengertian bahawa United tertekan.”

Benitez tampak merujuk kepada kenyataan Ferguson sebelum perlawanan minggu lalu, di mana dia mempersoalkan kenapa Benitez memilih untuk bercakap mengenai dirinya menjelaskan pertemuan pasukannya dengan Chelsea.

“Dia berdepan perlawanan Eropah (menentang Chelsea) dan dia bercakap mengenai Alex Ferguson,” kata jurulatih berbangsa Scotland itu. “Bagus! Saya tidak tahu bahawa saya sangat penting.”

Benitez membalasnya komen itu.

“Adakah saya menganggap ulasan itu sebagai satu pujian bahawa dia bercakap mengenai diri saya,” katanya. “Saya tidak peduli tetapi saya tahu bahawa dia berasa gemuruh dan itu amat bagus.”

1 comment:

  1. Ferguson mmg x guna...
    tua...nyanyuk..

    ReplyDelete